Alunan muzik Jazz Borneo 2012 hangatkan Miri pada 11 dan 12 Mei.

Posted on March 31, 2012

0


MUZIK Jazz dikatakan diminati dan dihayati mereka yang berstatus tinggi dalam masyarakat kerana alunan iramanya yang menyenangkan pendengar dan memberi kedamaian minda.

Memanfaatkan minat golongan peminat muzik jazz, Pesta Jazz Borneo (BJF) diletakkan sebagai antara acara terpenting dalam Kalendar Pelancongan Negeri Sarawak.

Penganjuran BJF bukan sahaja terbukti dapat menjana pendapatan ekonomi negeri, tetapi mampu menyatukan kepelbagaian budaya serta bangsa di seluruh dunia menerusi muzik.

Tahun 2012 ia memasuki kali ketujuh ia diadakan.

Muzik adalah satu yang sangat rapat dengan kita kerana ia merupakan seni bersifat sejagat iaitu melangkaui sempadan, budaya pada masa sama mewujudkan pemahaman antara satu sama lain.

Sebab itu kerajaan negeri Sarawak tidak mengabaikan muzik dalam mempromosikan pelancongan.

Selain Jazz Borneo, Sarawak terkenal dengan Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF).

Dan juga melalui penganjuran dua pesta muzik itu bakat-bakat tempatan boleh diketengahkan sekali gus menarik minat penggiat seni antarabangsa datang ke Sarawak.

Bandar Raya Miri dijadikan lokasi penganjuran kerana kesesuaiannya sebagai bandar raya peranginan selain dapat menarik penggemar muzik jazz dari Brunei dan Sabah.

Gambar fail menunjukkan persembahan Jazz Borneo sebelum ini.

Bertempat di Hotel Parkcity Everly Miri, kira-kira 9,000 penonton dijangka menyaksikannya, demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Datuk Rashid Khan sebelum ini.

Katanya, STB juga akan bekerjasama dengan sektor swasta untuk menyediakan pakej pelancongan untuk pengunjung dari rantau ini dan luar negara mengunjungi festival itu yang memberikan peluang kepada mereka melawat tempat-tempat menarik dan menyaksikan aktiviti tempatan.

Antara kumpulan yang akan membuat persembahan ialah New Cool Collective dari Belanda, Schalk Joubert’s 3 Continents Sextet (Afrika Selatan), Nita Aartsen (Indonesia) dan SLIX (Jerman); Koh Mr Saxman dan Takeshi Band (Thailand), Tangora (Perancis), Tropic Green (Singapura) dan F.V.E Project (Malaysia).

Dahulu ia dikenali sebagai Festival Jazz Antarabangsa Miri (MIJF).

Pertukaran nama itu untuk mempelopori nama Borneo yang sentiasa dikaitkan dengan destinasi magikal seperti festival yang sama di Indonesia, Jazz Jawa dan Jazz Huahin di Thailand.

Maklumat terkini mengenai festival ini akan disiarkan dari masa ke semasa di www.jazzborneo.com.