Tampung keperluan tenaga kerja SCORE, sebuah universiti teknologi bakal ditubuhkan di Sibu.

Posted on March 31, 2012

0


MEMANDANGKAN Sarawak memerlukan lebih ramai tenaga kerja terlatih dalam bidang teknikal dalam pelaksanaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), tumpuan akan diberikan kepada pendidikan dan latihan teknikal.

Justeru, Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang dipetik menerusi Bernama pada Jumaat memberitahu kerajaan bercadang menubuhkan sebuah universiti teknologi di Sibu.

Bandar Sibu merupakan antara kawasan di wilayah tengah Sarawak yang dikatakan akan menerima tempias pelaksanaan SCORE kelak. Ada yang mendakwa bandar tersebut akan terjejas peranannya apabila bandar seperti Mukah dan Bintulu membangun – tetapi dakwaan itu dinafikan Pehin Sri Abdul Taib yang ingin menyaksikan semua kawasan di negeri Sarawak membangun seimbang.

Tanpa menjelaskan lanjut mengenai penubuhan universiti itu, beliau berharap akan mendapat kerjasama daripada semua pihak dalam menjayakan penubuhannya.

image

SCORE merupakan rancangan pembangunan ekonomi yang turut membabitkan sosial di Sarawak.
Ia dilancarkan pada 2008 dan kini ia dikatakan kawasan koridor pembangunan wilayah yang aktif dalam melaksanakan promosi dan publisiti di peringkat antarabangsa dengan harapan mampu menarik pelabur sebanyak yang mungkin.

Pelbagai industri telah dirancang antaranya projek hab halal di Tanjung Manis dan industri berteknologi tinggi di Samalaju, Bintulu.

Ia bakal menyediakan peluang-peluang pekerjaan yang mencecah jutaan orang terutama dalam bidang teknikal dan kejuruteraan.

Malah, SCORE bakal membawa perubahan wajah kawasan luar bandar apabila infrastruktur seperti jalan raya akan dibina atau dinaiktaraf bagi menghubungkan bandar dan desa.

Lanjutan itu juga SCORE akan mengangkat status sosial mereka yang rajin bekerja dan berniaga dengan merebut peluang dalam pelbagai aktiviti ekonomi sampingan.

Apa yang penting pendapatan negeri Sarawak akan meningkat dan lantaran itu kerajaan mampu menyediakan lebih banyak kemudahan yang bermutu untuk rakyat.