Yang naik harga bukan RON95! Ada pihak ambil kesempatan.

Posted on April 4, 2012

0


TEMAN sepejabat saya bertanya (ibarat soalan kanak-kanak darjah enam) mengapa kita tidak kecoh sedangkan harga minyak naik?

Yang dia tahu ialah harga minyak naik, tetapi dia umpama tidak mahu ambil tahu apa jenis petrol yang naik. Mungkin dia dikaburi oleh beberapa portal berita internet yang ada sedikit kekaburan tentang berita kenaikan harga bahan bakar mulai tengah malam 3 April 2012.

Atau ada pihak yang sengaja mengambil peluang untuk mengelirukan fakta berikutan kenaikan harga RON97.

Setahu saya rakyat kebanyakan, kenderaan mereka menggunakan petrol RON95 yang pemegang hosnya berwarna kuning, manakala RON97 berwarna hijau.

Agensi berita Bernama melaporkan harga petrol RON97 dinaikkan 10 sen kepada RM2.90 seliter berkuat kuasa tengah malam 3 April 2012.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) Datuk Hashim Othman ketika dihubungi pada malam Selasa mengesahkan kenaikan harga itu.

Beliau berkata harga diesel kekal pada RM1.80 seliter.

Minggu lepas, kerajaan mengumumkan harga petrol RON95 kekal pada RM1.90 per walaupun harga bahan api di pasaran dunia naik baru-baru ini.  

Kerajaan tidaklah sekejam mana hendak menaikkan harga bahan bakar yang digunakan kebanyakan orang ramai kerana mengetahui ia bakal memberikan bebanan.

Apabila harga petrol naik sudah pasti kos pengangkutan pelbagai barang keperluan akan turut meningkat dan disusuli dengan kenaikan harga barangan keperluan harian seperti beras, tepung, minyak masak dan macam-macam lagi.

Pengedar atau pembekal terpaksa menaikkan harga sebab bagi menyerap kenaikan kos penghantaran barang, dan begitu juga penjual yang akhirnya memberi kesan terhadap kocek orang ramai.

Tetapi kerajaan tidak sekejam itu hendak menaikkan harga sesuka hati.

Pemimpin kanan kerajaan sering memberitahu bahawa jika kerajaan masih mampu memberi atau mengekalkan subsidi bagi menyerap kenaikan harga minyak dunia, sudah pasti kerajaan akan berbuat demikian.

Gambar hiasan

Berlandaskan keprihatinan itu kerajaan cuma menaikkan harga petrol RON97 yang digunakan oleh golongan kaya raya dan berpendapatan tinggi dan digunakan oleh kenderaan asing. Mereka tidak layak menikmati subsidi diberikan kerajaan kepada golongan kebanyakan rakyat.

Syabas kerajaan Barisan Nasional.

Maka dengan itu tidak ada muncul rintihan mereka yang berada di pedalaman Sarawak kerana harga barang makin melambung.

Disebabkan tidak ada kenaikan terhadap RON95, kini sudah ada suara-suara sumbang yang menyebarkan dakwaan bahawa kerajaan cuma akan menaikkan harga bahan bakar itu selepas Pilihan Raya Umum ke-13 diadakan.

Wah! Tidak naik salah, jika naik apatah lagi dakwaan dilemparkan mereka terhadap kerajaan.

Sesungguhnya ahli atau parti politik picisan gemar memanfaatkan peluang untuk meraih undi terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

Justeru, selepas ini dan malahan kini sudah banyak artikel di internet menyebarkan dakwaan yang tidak cukup bukti untuk mengesahkannya.