Jantung Borneo kini ‘berusia’ lima tahun – lambang usaha murni tiga negara memelihara flora dan fauna.

Posted on April 6, 2012

0


Jantung Borneo

DEKLARASI Jantung Borneo yang mengikat kerajaan Brunei, Indonesia dan Malaysia (Sarawak dan Sabah) untuk memulihara dan membangunkan 22 juta hektar atau 220,000 kilometer persegi kawasan Jantung Borneo memasuki tahun kelima pada 12 Februari 2012.

Ia disokong di bawah perjanjian penting serantau dan antarabangsa Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (Asean), Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan Konvensyen Mengenai Kepelbagaian Biologi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCBD).

Pulau Borneo selaku pulau ketiga terbesar di dunia memang terkenal sebagai habitat sejumlah haiwan istimewa yang berdepan kepupusan seperti orang utan dan gajah Pygmy.

Gajah pygmy antara hidupan liar tinggal di Jantung Borneo

Hutan hujan tropika meliputi pulau itu dianggarkan seluas 220,000 kilometer persegi dan dikatakan lebih tua berbanding Hutan Amazon di Amerika Selatan.

Kekayaan flora dan fauna di pulau ini menarik minat banyak pihak termasuk pelancong dan saintis dari segenap pelosok dunia melawat atau menjalankan penyelidikan.

Seiring perubahan, pulau yang dikongsi bersama tiga negara iaitu Malaysia (Sabah dan Sarawak), Indonesia (Kalimantan) dan Brunei turut berdepan masalah alam sekitar.

Berikutan itu, pelbagai usaha dilakukan kerajaan tiga negara terbabit dalam memastikan kekayaan alam semula jadi anugerah Tuhan tidak pupus dan dimusnahkan sesuka hati.

Orang Utan sekeluarga

Jantung Borneo merujuk kawasan sempadan tanah tinggi di Brunei, Indonesia dan Malaysia.

Berdasarkan laporan terkini – Status Alam Sekitar Jantung Borneo – pada keseluruhannya kebanyakan jenis hutan di Jantung Borneo pada masa ini berada pada tahap baik atau sangat baik.

Program itu penting kerana ia bakal memberi perlindungan kepada hutan hujan tropika yang dikategori sebagai antara tertua di dunia.

Hutan Hujan

Pulau Borneo dipilih kerana masih memiliki hutan dara dan alam semula jadi yang terpelihara.

Fakta mengenai Pulau Borneo

* Ketiga terbesar di dunia.
* Nama Borneo secara etimologis berasal daripada bahasa Brunei.
* Istilah Borneo lazim digunakan Barat.
* Nama diberi oleh Belanda pada zaman penjajahan.
* Dikelilingi Laut China Selatan di utara, Laut Sulu (timur laut), Laut Sulawesi dan Selat Makasar di timur dan Laut Jawa serta Selat Karimata di selatan.
* Luas 743,330 kilometer persegi.
* Hutan hujan tropika seluas 220,000 kilometer persegi.
* Kemuncak tertinggi ialah Gunung Kinabalu iaitu 4,095 meter.

Posted in: Alam Sekitar, Sarawak