Taman Rekreasi Ranchan Serian tempat tumpuan pelancong.

Posted on April 9, 2012

0


Pintu masuk Taman Rekreasi Ranchan di tepi Jalan Serian-Sri Aman.

SEKUMPULAN pelancong dari Barat asyik menangkap gambar seekor labah-labah yang sedang makan mangsa terperangkap di sarangnya. Mereka mungkin jarang atau tidak pernah melihat serangga demikian di negara sendiri sebab itu berebut-rebut menangkap gambar.

Ia berlaku di Taman Rekreasi Ranchan di Serian, kira-kira 45 kilometer perjalanan dari Bandar Raya Kuching – satu tempat perkelahan terkenal di kalangan muda-mudi dan keluarga pada hujung minggu dan kelepasan am.

Air terjun di situ sungguh menyegarkan. Dikelilingi oleh pokok-pokok yang meredupkan kawasan perkelahan air terjun, ia merupakan tempat yang sesuai untuk menenangkan minda dari hiruk pikuk kota.

 

Malah, dari riak muka para pelancong asing itu tergambar rasa penuh kagum mereka dengan kehijauan alam sekitar dan kesegaran udara yang kita di Sarawak pertahankan. Mungkin tidak seperti negara mereka yang kini sudah menjadi hutan batu – tiada lagi penyeri kehidupan.

Memang hasrat kerajaan negeri menyediakan sebanyak yang mungkin kawasan riadah dan rekreasi berteraskan alam semula jadi agar generasi baru kelak tidak keempunan menikmati udara segar dari kehijauan pokok-pokok hutan tropika.

 

Tumpuan pelancong asing.

 

Ketika ini, Taman Rekreasi Ranchan itu sedang dalam proses menambahbaik di bahagian pintu masuknya.

Kemudahan yang ada di tempat taman reakreasi itu ialah: – 

  • pondok rehat
  • trek jogging
  • tempat BBQ
  • tandas awam
  • tempat mandi dan bersalin pakaian
  • kedai makan
  • bangku
  • menara tinjau

    Menara tinjau membolehkan pengunjung melihat kehijauan pokok-pokok dari aras yang tinggi.

    Tumpuan keluarga yang ingin menikmati keindahan deruan air terjun.