Tidak ada mati kerana lapar di Sarawak.

Posted on April 9, 2012

0


SETAKAT diketahui, tidak pernah dengar ada orang mati kerana kebulur di Sarawak. Dan minta kita dijauhkan dari kelaparan dan kebuluran berpunca daripada kemiskinan yang teramat sangat.

Jika rakyat miskin itu kita ada dengar dan kita anggap itu suatu perkara biasa terutama dalam sebuah negara membangun seperti Malaysia.

Kita bersyukur kerana usaha kerajaan selama ini berteraskan program-program pembasmian kemiskinan kini bilangan penduduk miskin tegar kian berkurangan. Paling tidak ia menunjukkan keprihatinan pihak berkuasa dalam membendung masalah kemiskinan daripada meningkat.

Satu contoh usaha membasmi kemiskinan ialah menerusi pendidikan. Pendidikan merupakan pelaburan jangka panjang dalam mengekang kemiskinan dalam sesebuah keluarga, agar tidak diwarisi daripada bapa kepada anak dan seterusnya.

image

Hidangan yang disediakan di sebuah restoran makanan laut.

Jika berjaya dalam akademik dan bekerjaya bagus dengan gaji yang lumayan, seseorang yang datang dari keluarga miskin berupaya mengangkat ekonomi keluarganya, sekali gus mengurangkan kadar kemiskinan.

Begitu juga program pembangunan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang digerakkan kerajaan negeri. Ia merupakan satu cara terbaik meningkatkan atau memberi pendapatan kepada pemilik NCR menerusi konsep usaha sama meneroka NCR untuk dijadikan ladang kelapa sawit.

Ia kini kian diterima oleh penduduk di luar bandar yang mula menyedari tidak ada niat jahat terselindung di sebalik usaha sama – tidak akan merampas tanah mereka.

Dua usaha itu jika dihayati dan difahami matlamatnya, usaha memulihkan ekonomi penduduk termiskin mungkin menemui jalan mudah.

Apa yang penting, tidak ramai golongan miskin tegar di Sarawak, dan ini sering diperkatakan oleh pemimpin-pemimpin negeri.

Sebagai bukti ramai rakyat Malaysia di Sarawak hidup tergolong bukan sebagai orang miskin ialah kedai makanan dan minuman atau restoran sentiasa dipenuhi pelanggan. Bermacam-macam rupa pelanggan juga usia mereka berbeza-beza.

Di Bandar Raya Kuching misalnya, restoran-restoran dibuka sampai ke tengah malam kerana ramai yang keluar untuk menikmati hidangan makan malam bersama keluarga atau kawan-kawan ataupun kekasih.

Restoran makanan laut sering menjadi tumpuan. Restoran jenis ini paling sedikit bayarannya ialah RM100 apabila dua orang makan. Semahal mana sekalipun, ia tetap ramai pengunjung tempatan dan pelancong.

Ia menggambarkan kepada kita bahawa taraf hidup penduduk telah meningkat.

Kereta-kereta yang dipakai kebanyakan mereka ialah kenderaan mewah yang lazimnya dimiliki tauke-tauke.

Tetapi apa yang penting orang Sarawak kini kian berduit maka program basmi kemiskinan sama ada secara langsung atau tidak langsung telah menunjukkan kejayaan.

Syabas!