Memeriahkan suasana Bandar Raya Kuching dengan ‘Persembahan Malam Sabtu’.

Posted on April 10, 2012

0


SEBAGAI antara usaha untuk merancakkan sektor pelancongan di Sarawak, pelbagai acara harus digerakkan sama ada di pusat bandar, pinggir bandar dan luar bandar.

Manusia terdiri daripada pelbagai latarbelakang, justeru mereka juga mempunyai citarasa berbeza dalam menentukan destinasi pilihan untuk melancong.

Ada yang gemar melancong kerana ingin menyaksikan kebudayaan dan adat resam penduduk di sesuatu tempat, ada juga yang gemar aktiviti lasak dan memerhati keindahan alam semulajadi, serta tidak kurang pula yang ingin membeli-belah semata-mata.

Jika mereka yang minat untuk mengetahui kebudayaan dan adat resam, mereka mungkin boleh memilih untuk menyaksikan ‘Persembahan Malam Sabtu’ di Kompleks Pelancongan Sarawak. Ia diadakan pada setiap malam Sabtu dan baru dimulakan pada Sabtu lepas.

Persembahan tarian pada malam pelancaran 'Persembahan Malam Sabtu'.

Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abg Johari Abg Openg dipetik menerusi akhbar berkata, program bermula pukul 7.30 malam itu akan diisi dengan persembahan muzik dan tarian tradisi kebudayaan penduduk Sarawak.

Meskipun tidak terperinci dan mengkhusus dengan adat resam, program berkenaan mampu menggerakkan naluri pelancong untuk lebih menyelami budaya tempatan menerusi persembahan tarian dan muzik.

“Kami mahu bandar raya Kuching meriah dan ada jiwa budaya hingga mampu menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong dari luar negara seperti Singapura dan Brunei untuk datang ke negeri ini sambil menikmati keunikan persembahan daripada pemuzik dan penggiat seni tempatan,” katanya dipetik.

Ngajat satu tarian yang wajar diketengahkan untuk tontonan pelancong.

Pada tahun depan, Kementerian Pelancongan Sarawak akan menganjurkan Tahun Melawat Sarawak 2013. Sasaran ketibaan pelancong ialah empat juta orang.

Jumlah ketibaan pelancong di Sarawak pada tahun 2011 ialah 3.7 juta orang.

Kementerian Pelancongan akan merancang beberapa acara utama untuk memenuhi Tahun Melawat Sarawak 2013.

Posted in: Pelancongan, Sarawak