Pelbagai cara ke arah Sarawak miskin sifar.

Posted on April 10, 2012

0


KEMISKINAN ialah satu subjek yang paling tidak elok untuk didengar dalam mana-mana negara. Tetapi ia satu hakikat yang perlu diterima adalah agak mencabar dan rumit untuk menjadikan sesebuah negara sebagai ‘miskin sifar’.

Lumrah manusia, ada yang rajin berusaha dan ada yang sebaliknya – sekadar berharap nasib akan mengubah kehidupan mereka agar lebih baik. Jarang ada yang mampu bangkit dari belenggu kemiskinan kerana menang loteri atau atas hasil wang pemberian orang lain.

Kemiskinan kerana kurang upaya fizikal tidak termasuk dalam kategori yang dibincangkan ini.

Menyedari hakikat itu, kita sebagai manusia yang masih berupaya untuk bekerja harus menggunakan semua peluang untuk mencapai matlamat meningkatkan taraf hidup kita dan keluarga.

Sebaik mana sekalipun program dirangka dan dilaksanakan kerajaan, ia pasti gagal mencapai objektif jika golongan sasaran enggan memanfaatkan peluang.

Ruginya! Siapa yang rugi? Sebab itu kadang-kadang ada orang berkata “yang kaya terus kaya dan yang miskin tetap miskin”. Mungkin ia berpunca dari sikap acuh tak acuh dalam membangunkan diri sendiri. Sedangkan orang berada, meskipun menyedari dia sudah banyak wang, terus bekerja untuk memastikan harta kekayaan mereka bertambah agar dapat dikongsikan bersama anak-anak, malah dengan cucu.

Sebagai contoh, pimpinan kerajaan negeri acapkali melaungkan kepentingan kemahiran teknikal dalam menempuhi era seterusnya yang dikatakan Sarawak berada dalam gelombang pembangunan kedua.

Gelombang pembangunan kedua maksudnya penerokaan Sarawak ke dalam industri-industri berteknologi tinggi seperti yang bakal wujud di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Jika remaja atau belia gagal menyelami hasrat pemimpin agar mengambil peluang yang disediakan untuk menimba kemahiran dalam bidang teknikal dan kejuruteraan, mereka mungkin akan berada dalam kelompok orang miskin apabila Sarawak kian maju kelak.

Itu langkah kerajaan dalam jangka masa panjang untuk membasmi kemiskinan menerusi pengwujudan peluang pekerjaaan dan perniagaan.

Bagi jangka pendek dan sederhana, dengan menyediakan tempat berniaga hasil pertanian dan hutan adalah sesuatu yang amat dihargai oleh orang kampung. Meskipun ia menelan kos tidak besar dalam penyediaan tempat seumpama itu, tetapi masih dapat kita saksikan semangat mencari rezeki. Ia sudah pasti dihargai orang kampung.

Itu antara yang diperkatakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Dr James Dawos Mamit ketika merasmikan Pusat Gerai Penjaja di Kilometer 30, Jalan Kuching-Serian pada Ahad.

“Pusat Gerai Penjaja ini akan memberi manfaat kepada seramai 64 buah keluarga dari Kampung Sinjok dan Kampung Tijirak,” katanya dipetik menerusi Utusan Sarawak.

Berikut ialah gambar keratan akhbar berhubung majlis tersebut:-