PKR tanding lebih 10 kerusi: Ada pelan pembangunan atau cuma untuk menang?

Posted on April 11, 2012

0


PERSOALAN utama wajar diajukan terhadap diri bakal calon ketika ingin hendak bertanding dalam pilihan raya ialah “adakah kita mampu untuk membawa pembangunan dan meneruskan kemajuan apabila sudah dipilih?”

Dikhuatiri, rakyat kecundang dengan wakil mereka yang dipilih kerana menyangkakan janji-janji ditabur pada kempen pilihan raya sekadar omong kosong dan sukar untuk dilunaskan.

Selalu kita dengar sepanjang musim pilihan raya mereka yang berkempen mampu memberikan pandangan yang mengkagumkan lantas menyebabkan mereka amat diyakini pengundi.

“Nah! Inilah calon wakil rakyat yang kita cari, akhirnya muncul jua”. Mungkin itu yang terdetik di dalam sanubari orang ramai yang mendengar ucapan bertenaga daripada ahli politik.

Secara am, mereka yang mampu menggegarkan audien ketika berpidato ialah calon-calon dan pemimpin pakatan pembangkang yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS.

Umum mengakui memang mereka bijak berkata-kata tetapi adakah kebijaksanaan pertuturan itu disusuli dengan tindakan? Tindakan dalam konteks ini ialah rancangan-rancangan pembangunan demi manfaat rakyat.

Pilihan Raya Umum Ke-13 ini kelak sudah pasti golongan seumpamanya akan menggunakan kepetahan mereka berucap dalam usaha mereka meraih undi.

Persoalan ini terbenak dalam fikiran apabila membaca artikel berita di bawah:-

PKR akan bertanding di 10 kerusi Parlimen

Posted on April 11, 2012, Wednesday

KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesahkan akan bertanding di 10 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak, sementara menunggu kata sepakat Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berhubung kerusi yang wujud pertindihan tuntutan.

Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian berkata, setakat ini mereka akan memberi tumpuan terhadap kerusi yang sudah pasti bakal ditandingi mereka.

“Kami belum dapat mengumumkan kerusi-kerusi tersebut secara rasmi dan saya rasa anda dapat teka,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini dilaporkan PKR berminat untuk meletakkan calon di 12 daripada 31 kerusi Parlimen di negeri ini.

Antara kerusi yang disasarkan adalah Limbang, Miri dan Sibuti.

Pada pilihan raya negeri April lalu, PKR yang bertanding di 49 konstituensi berjaya menawan tiga kerusi iaitu di Ba’Kelalan, Krian dan Batu Lintang.

Kerusi Ba’Kelalan disandang oleh Baru manakala Ali Biju (Krian) dan See Chee How (Batu Lintang).

Daripada 31 kerusi Parlimen di Negeri ini, sejumlah 29 dipertahankan oleh Barisan Nasional manakala DAP (dua) iaitu di Bandar Kuching dan Sibu.

Baru berkata, kali ini parti akan lebih realistik dengan meletakkan fokus di kawasan yang mampu menang sahaja.

Menurutnya, perkara itu diambil kira dan dinilai  berdasarkan keputusan pilihan raya negeri pada April tahun lepas.

Jelasnya lagi, kebanyakan kerusi yang disasarkan itu adalah kerusi majoriti Dayak dan Melayu/Melanau.

“Sementara status agihan kerusi dalam pakatan pembangkang secara keseluruhannya masih belum diselesaikan lagi, kami telah menghantar senarai nama calon di 10 kerusi terbabit,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha DAP Chong Chieng Jen yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching enggan mendedahkan jumlah kerusi yang akan ditandingi parti tersebut memandangkan rundingan kerusi masih dijalankan.

Namun, beliau memberitahu, parti itu akan menampilkan 50 peratus daripada calonnya daripada kaum Dayak.

“Sebanyak 50 peratus daripada kerusi yang kami sasarkan adalah kerusi majoriti Dayak dan untuk itu, kami akan menampilkan calon yang juga kaum Dayak,” katanya.