Kurang jenayah pemangkin kemasukan pelaburan dan merangsang aktiviti ekonomi.

Posted on April 14, 2012

0


KEMASUKAN pelabur asing penting bagi menggalakkan pertumbuhan dan kestabilan ekonomi sesebuah negara.

Keamanan dan keselamatan berterusan seperti yang dikecapi sekarang amat penting dalam memastikan para pelabur terus
melabur manakala peniaga dapat menjalankan perniagaan dalam suasana yang baik.

Mana-mana negara yang dilanda huru-hara dan ekonominya terjejas, pelabur tidak akan berminat untuk datang kerana mereka
tidak mendapat apa juga kebaikan atau keuntungan daripada usaha mereka.

Kita di Sarawak wajar sedar bahawa keamanan yang dikecapi selama ini bukan datang begitu sahaja. Keamanan dan keselamatan yang dinikmati selama ini tidak muncul tiba-tiba atau sendiri tapi hasil usaha kita semua yang menjaga keselamatan dan keamanan serta kedaulatan negara.

Kadar jenayah yang rendah di Sarawak tidak dinafikan merupakan antara perkara yang dijadikan pertimbangan oleh para pelabur asing sebelum memutuskan untuk menanam modal di sini.

Dan dalam konteks Sarawak yang kini giat mempromosikan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), kemasukan pelaburan asing merupakan satu perkara amat mustahak.

Mana ada kawasan industri umpama SCORE berjaya tanpa berlaku kegiatan menanam modal oleh pelabur dari pelbagai jurusan industri.

Justeru, amat penting untuk kita sebagai rakyat Malaysia di Bumi Kenyalang mengekalkan tahap keselamatan pada paras yang serendah mungkin.

Bukan meletakkan tanggungjawab berhubung soal jenayah dan keselamatan sebagai bebanan polis semata-mata, tetapi semua ahli masyarakat wajar melaksanakan peranan dalam membanteras dan membendung jenayah.

Kadar jenayah yang tinggi, memberikan satu anggapan negatif di kalangan syarikat pelabur. Dan kita di Sarawak harus berbangga dengan trend jenayah yang berada di tahap terkawal dan menunjukkan penurunan saban tahun.

Berita lanjut di bawah:-

Kadar jenayah S’wak rendah –  Trend jenayah 2010-2012 menunjukkan penurunan 15 peratus, kedua paling rendah di Malaysia.

by Rusnan Mustafa.

Posted on April 2, 2012, Monday

KUCHING: Perangkaan trend jenayah Sarawak bagi tempoh 2010 hingga 2012 menunjukkan penurunan secara purata 15 peratus sekali gus meletakkan negeri ini kedua paling rendah kejadian jenayah di seluruh Malaysia.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sebelum ini Sarawak biasanya terletak di antara tempat kelima dan ketujuh kadar jenayah yang terendah.

“Ini merupakan kejayaan yang membanggakan bagi Sarawak kerana kadar penurunan jenayah telah dapat kita capai dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Jamuan Malam Amal Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) Sarawak yang turut dihadiri Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di sini malam kelmarin.

Awang Tengah yang juga merupakan pengerusi YPJM Sarawak memberitahu, walaupun jenayah di negeri ini dalam jangka masa 10 tahun lalu menunjukkan kenaikan dua kali ganda tetapi perbandingan angka ini masih rendah iaitu lima hingga enam kes bagi setiap 1,000 penduduk setahun.

Justeru, untuk memastikan kadar jenayah terus menurun, beliau menjelaskan bahawa strategi yang berkesan perlu dicari bagi menanganinya yang mana salah satunya adalah kerjasama daripada semua pihak termasuk masyarakat umum.

“Dalam konteks ini, setiap anggota masyarakat kita mesti kembali kepada diri sendiri untuk mencegahnya sekali gus memerangi jenayah.

“Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Sarawak adalah pertubuhan yang relevan untuk terus memainkan peranan dalam memberi kesedaran dan menyatukan masyarakat dalam usaha bersama mencegah jenayah ini,” tambahnya.

Awang Tengah memberitahu, antara aktiviti yang dilaksanakan bagi menyokong inisiatif itu, YPJM telah mengadakan seminar pencegahan jenayah, dialog meja bulat berkaitan jenayah, kempen katakan tidak kepada jenayah, jerayawara, ceramah kesedaran di peringkat sekolah, penubuhan Kelab Pencegahan Jenayah di sekolah, Program Rakan Cop dan banyak lagi.

“Alhamdulillah, keahlian dalam laman web bagi Rakan Cop di negeri ini kini sudah melebihi 40,000 orang,” ujarnya.