SPDP usaha bantu SUPP

Posted on April 15, 2012

0


MARA ke depan dan bantu parti komponen Barisan Nasional yang lain dalam persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 – itu yang mungkin cuba diusahakan oleh SPDP selepas selesai mengadakan perhimpunan agung perwakilan pada Mac 2012 di Bintulu.

Barisan kepimpinan sudah lengkap dipilih dan dilantik – menggabungkan muda dan berusia – justeru mereka kini wajar bergerak ke depan tanpa menoleh ke belakang.

Dalam semangat Barisan Nasional yang amat menitikberatkan semangat setiakawan dan kerjasama, SPDP di bawah pimpinan Tan Sri William Mawan Ikom akan berusaha membantu menjelaskan isu-isu yang menjadi persoalan dalam minda pengundi Cina di bandar.

Bagaimanapun Tan Sri William Mawan tidak menjelaskan terperinci apa bentuk pendekatan yang akan mereka guna dalam mencapai matlamat.

Jika diperhatikan menerusi latarbelakang pengundi di kawasan majoriti Cina, mereka terdiri daripada golongan berpelajaran tinggi dan bekerjaya. Malahan mereka muda dan golongan itu tidak lagi mengharapkan bantuan atap untuk membuat rumah atau diselubungi isu tidak ada elektrik dan air bersih. 

Golongan ini lain berbanding pengundi di luar bandar atau bumiputera.

Mungkin pendekatan yang sesuai ialah menerusi siber.

Parti-parti seperti DAP, PKR dan PAS menyebarkan dakyah dan tuduhan tidak memiliki bukti kukuh menerusi Internet tanpa mengira masa dan ketika, tidak dapat dinafikan telah mempengaruhi minda orang ramai.

Lantas, berlaku peralihan sokongan kepada parti-parti pembangkang seperti yang digambarkan menerusi beberapa pilihan raya yang lepas.

Trend sebegini tidak wajar dibiarkan terus berlaku dan menggugat pemerintahan Barisan Nasional yang terbukti berupaya membangunkan negara dan negeri Sarawak sejak kemerdekaan.

Justeru, segala usaha yang bakal digunakan untuk membantu meraih semula sokongan terhadap Barisan Nasional di kalangan orang Cina wajar disokong.

Ikuti laporan berita di bawah:-

Sumber: www.theborneopost.com

Posted on April 15, 2012, Sunday

SPDP tubuh jawatankuasa khas tingkat imej positif BN di kawasan majoriti Cina

KUCHING: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) menubuhkan jawatankuasa khas bagi membantu meningkatkan imej positif Barisan Nasional (BN) di kawasan majoriti Cina.

Presidennya, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, jawatankuasa yang diketuai Timbalan Presiden SPDP Datuk Seri Tiong King Sing dan dibantu Bendahari Agung Senator Pau Chiung Ung akan melaksanakan peranan dalam mengimbangi isu negatif yang dilemparkan terhadap BN.

“Kita tahu tidak semua mereka yang mengundi DAP suka dengan parti itu, tetapi disebabkan ada alasan yang kita tidak tahu.

“Di sinilah peranan kita untuk melaksanakan tanggungjawab dan bekerjasama sebagai parti komponen dalam BN,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi SPDP di sini, semalam.

Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berhadapan dengan cabaran besar dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak apabila keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 pada April 2011 membuktikan sokongan majoriti Cina di bandar semakin menyusut.

Parti Tindakan Demokratik (DAP) memenangi kebanyakan kerusi Dewan Undangan Negeri yang dahulunya dikuasai SUPP.

Sementara itu, persediaan menghadapi pilihan raya, Putera dan Puteri SPDP kini sudah mula bergerak di beberapa kawasan dengan tumpuan di Bau.

Mawan yang juga Menteri Pembangunan Sosial berkata, program-program di peringkat akar umbi adalah untuk menambah sokongan dalam usaha memastikan kemenangan BN.

Malah, bagi melengkapkan usaha mengukuhkan parti, barisan kepimpinan SPDP disifatkan beliau sebagai gabungan orang lama yang setia dan orang muda yang bertenaga.

“Ini merupakan antara proses transformasi parti,” katanya sambil menambah ia juga sesuai dengan perkembangan masa kini yang menyaksikan perjuangan politik turut berlaku di siber.