Didakwa FAM gagal sedia kawalan keselamatan mengecewakan FAS.

Posted on April 21, 2012

0


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datu Sudarsono nyata kecewa apabila didakwa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana gagal menyediakan kawalan keselamatan mencukupi.

Dia dalam kenyataan media yang dipetik menerusi laman Facebook Crocs News Update pada Sabtu berkata, FAS belum dimaklumkan secara rasmi mengenai keputusan jawatankuasa disiplin FAM.

Datu Sudarsono

Berikut ialah terjemahan intipati yang penting dalam kenyataan media Datu Sudarsono.

Kami hanya mengetahui berhubung keputusan itu menerusi media yang jarang berlaku.

Susulan insiden itu (ketika perlawanan Sarawak menentang Singapura di Stadium Negeri pada 17 Mac 2012), kami didakwa tidak menyediakan kawalan keselamatan yang mencukupi. Tuduhan itu saya nafikan. Untuk pengetahuan anda semua, jawatankuasa penganjur dilengkapi dengan tidak kurang 300 petugas keselamatan merangkumi PDRM, RELA dan yang lain-lain pada setiap perlawanan.

Saya tidak tahu berapa anggota keselamatan yang FAM maksudkan dengan mencukupi.

Perbuatan membaling botol dan bermain cahaya laser oleh para penonton adalah luar kawalan kita. FAS tidak menyokong perbuatan sebegini. Anda pasti maklum betapa kecilnya saiz alat laser. Melainkan kita mempunyai mesin pengimbas keselamatan di setiap pintu masuk seperti yang terdapat di lapangan terbang untuk kita mengesan atau menyekat agar ia tidak dibawa masuk ke dalam stadium. Sepanjang pengetahuan saya, Stadium Bukit Jalil pun tidak memiliki kelengkapan seperti itu.

Mengenai kata-kata kesat para penonton, kita memang tidak dapat mengawal perkataan sedemikian agar tidak dituturkan oleh mereka.

Denda RM29,500 merupakan satu beban terhadap kewangan FAS. Kita maklum bahawa keputusan ini adalah muktamad. FAS layak untuk didengar.

Justeru, Datu Sudarsono meminta agar semua penonton patuh terhadap arahan. Bola sepak memerlukan penyokong. EPL tidak akan berada di kedudukan sekarang jika tidak kerana peminat. Marilah kita bersama-sama memastikan perlawanan yang cantik dengan melaksanakan tanggungjawab kita.

Di bawah ini adalah berita disiarkan Bernama berhubung keputusan FAM.

FAM Denda FAS RM29,500 Gagal Sedia Kawalan Keselamatan.

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mendenda Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) sebanyak RM29,500 setelah gagal menyediakan kawalan keselamatan sepatutnya semasa perlawanan antara Sarawak dan Lions XII di Stadium Negeri di Kuching pada 17 Mac lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Datuk Taufik Abdul Razak dipetik menerusi BERNAMA berkata FAS didapati bersalah dalam empat pertuduhan iaitu gagal menyediakan kawalan keselamatan menyebabkan penyokong dan penonton Sarawak membaling botol air hingga terkena kepada pegawai perlawanan menyebabkan FAS didenda RM15,000.

Beliau berkata kegagalan menyediakan keselamatan itu juga menyebabkan pegawai dan pemain Lions XII dibaling botol air yang mengakibatkan FAS didenda RM2,500.

“FAS juga didapati bersalah dalam tuduhan ketiga iaitu gagal mengawal keselamatan di pintu utama Stadium Negeri menyebabkan penyokong Sarawak bertindak mengeluarkan kata-kata kesat kepada pengadil iaitu ‘pengadil rasuah’ dan ‘pengadil bodoh’. Bagi kesalahan itu FAS didenda RM6,000,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tatatertib FAM di Wisma FAM pada Jumaat.

Taufik berkata FAS juga didenda RM6,000 atas kesalahan penyokong menggunakan pancaran laser terhadap penjaga gawang Lions XII menyebabkan perlawanan terhenti selama lima minit.

Posted in: Sarawak, Sukan