SUPP umum tiga bakal calon PRU 13.

Posted on April 22, 2012

0


SUPP, sebuah parti komponen Barisan Nasional di Sarawak, mengumumkan tiga bakal calon untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) di ibu pejabat parti pada Ahad.

Presidennya, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui yang dipetik menerusi Bernama memberitahu SUPP akan mengemukakan Tan Kai untuk Bandar Kuching, Datuk Richard Riot Jaem (Serian) dan Ding Kuong Hing (Sarikei).

Tan Kai, muka baru, merupakan Ketua Pemuda SUPP yang baru dipilih pada perhimpunan perwakilan penuh kontroversi pada Disember 2011.

Datuk Richard pula merupakan timbalan menteri dalam kabinet persekutuan merupakan penyandang kerusi Parlimen Serian yang juga Timbalan Presiden SUPP.

Ding pula akan mempertahankan kerusi Parlimen Sarikei untuk penggal kedua.

Bagaimanapun, Datuk Seri Peter Chin belum mengumumkan bakal calon untuk Parlimen Sibu, Stampin, Lanang dan Miri.

Semua calon untuk SUPP katanya akan diumumkan nama mereka pada 30 April 2012.

Datuk Seri Peter Chin enggan mengulas sama ada dia akan bertanding mempertahankan Parlimen Miri

“Saya serahkan keputusan itu kepada jawatankuasa Parlimen Miri untuk memutuskan (sama ada saya kekal sebagai calon),” katanya.

Untuk Parlimen Stampin, enam nama telah dikemukakan kepada pucuk pimpinan parti bagi menggantikan penyandang Datuk Yong Khoon Seng yang ingin bersara dari politik.

CWC juga dikatakan belum membuat keputusan terhadap bakal calon untuk Parlimen Sibu dan Lanang memandangkan jawatankuasa dua kawasan berkenaan belum mengemukakan nama secara rasmi.

Sibu diketuai Dato Sri Wong Soon Koh, manakala Lanang, Datuk Tiong Thai King.

Dato Sri Wong mengetuai kumpulan yang tidak mengiktiraf perhimpunan perwakilan pada Disember 2011 dan Datuk Seri Peter Chin sebagai Presiden baru menggantikan Datuk Patinggi Dr George Chan Hong Nam.

Dia baru-baru ini mengumumkan Temenggong Vincent Lau sebagai bakal calon SUPP untuk Parlimen Sibu, manakala mengekalkan Datuk Tiong di Parlimen Lanang.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 2008, SUPP menang enam daripada tujuh kerusi yang dipertandingkan. Mereka tewas kepada Chong Chieng Jen daripada DAP di Parlimen Bandar Kuching. SUPP bagaimanapun kehilangan kerusi Parlimen Sibu menerusi Pilihan Raya Kecil pada tahun 2010.

SUPP dijangka berdepan situasi lebih getir berbanding PRU 2008 apabila keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak 2011 secara umumnya tidak memihak mereka. Mereka tewas di 13 daripada 19 kerusi kawasan Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan.

Semoga SUPP maju jaya dalam PRU 13 kelak. Sokong SUPP demi kesinambungan pembangunan di negeri Sarawak.