Mampukah PAS menanggung kekecewaan buat sekian kali?

Posted on April 23, 2012

0


PAS

BELUM tahu lagi di mana Parti Islam Se-Malaysia (PAS) akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 di negeri Sarawak.

Sama ada memang tidak tahu hendak letak calon di mana sebab semua kerusi kurang yakin untuk menang atau masih berunding dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP).

PAS tidak pernah menang apa-apa kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri di Sarawak. Itu hakikatnya yang paling pahit ditelan PAS meskipun sering kali mereka melaungkan keyakinan akan menang.

Faktor mengapa PAS tidak diterima majoriti pengundi di Sarawak?

Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 pada April 2011, pensyarah Unimas Dr Awang Azman Awang Pawi dipetik berkata laluan “amat sukar” bagi PAS berikutan latar belakang penduduk yang terdiri daripada pelbagai agama, kebudayaan dan etnik.

“Rakyat masih sukar untuk menerima ideologi sebuah negara Islam, dan PAS dianggap sebagai sebuah parti ekstremis,” katanya.

Awang Azman berkata PAS telah disamakan dengan penduduk Islam di Mesir, dianggap sebagai pergerakan Islam paling berpengaruh di dunia, dan keadaan itu telah menakutkan banyak orang.

“Faktor lain ialah kaum Bumiputera, sama ada Islam dan bukan Islam, lebih selesa dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) daripada PAS yang berpangkalan di Semenanjung. Bumiputera Islam ialah minoriti di negeri ini, tetapi pencapaian mereka dalam bidang pendidikan dan ekonomi agak signifikan, dan rakyat menghargainya,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak yang diadakan pada 16 April 2011, PAS meletakkan calon di lima kerusi iaitu Beting Maro, Sebuyau, Sadong Jaya, Muara Tuang dan Tanjung Datu.

PAS seperti dipetik menerusi Berita Harian pada 2 April 2011, yakin akan menang sekurang-kurangnya satu kerusi Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya berkenaan. Kerusi yang dimaksudkan itu ialah Beting Maro.

“Di Beting Maro pada pilihan raya negeri yang lepas (2006), contohnya, terdapat hanya sebuah rumah panjang yang menyokong kami. Kini, terdapat tiga buah rumah panjang yang telah menyatakan sokongan kepada kami,” kata Ketua PAS negeri Sarawak, Adam Ahid dipetik.

Bagaimanapun semua calon PAS kecundang.

Dan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini, pemimpin PAS kelihatan masih berusaha meyakinkan pengundi bahawa mereka mampu mewakili penduduk di Parlimen.

Tetapi para pemimpin PAS harus sedar kejayaan amat sukar bagi mereka di Sarawak. Itu yang pasti jika diteliti rekod lampau dari aspek sokongan pengundi di seluruh negeri.

Strategi PAS dalam usaha menarik hati pengundi bukan Melayu kali ini juga nampak diubah sedikit. Mereka dijangka akan meletakkan dua orang calon berketurunan Iban di dua kawasan Parlimen iaitu di Sibuti dan di Igan atau Tanjung Manis.

Akhbar melaporkan PAS berminat bertanding di sekurang-kurangnya lapan kerusi iaitu Parlimen Sibuti, Igan, Tanjung Manis, Kanowit, Kota Samarahan, Batang Lupar, Batang Sadong dan Limbang.

Semoga PAS mampu menempuh kekecewaan jika sekali lagi gagal menang sebarang kerusi.