DAP dan PKR sama mahu Mas Gading.

Posted on April 26, 2012

0


DENGAR cerita, Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) masing-masing mahu meletakkan calon di Parlimen Mas Gading pada Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak.

Mana konsep kesepakatan yang seharusnya ditonjolkan menerusi apa yang dipanggil sebagai ‘Pakatan Rakyat’? Bagaimana hendak memberi teladan yang baik kepada rakyat sedangkan parti mereka sendiri tidak sepakat? Itu baru sahaja membabitkan proses agihan kerusi, belum lagi sampai ke peringkat untuk pengagihan kuasa andai kata mereka menang dan berjaya membentuk kerajaan.

Sudah menjadi rahsia diketahui ramai bahawa DAP telah lama mengidamkan kerusi yang kini disandang oleh bekas Naib Presiden SPDP, Datuk Dr Tiki Lafe. Ia dapat diperhatikan menerusi pergerakan di peringkat bawahan oleh Mordi Bimol yang akan diketengahkan DAP jika parti berkenaan dibenarkan bertanding di situ.

DAP

Majoriti pengundi di kawasan Parlimen Mas Gading ialah Bidayuh dan Mordi, anak tempatan, menunjukkan minat untuk menceburi bidang politik secara serius tidak berapa lama selepas Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 16 Mei 2010.

Kurang jelas mengapa Mas Gading menarik perhatian PKR sedangkan yang bekerja di peringkat akar umbi ialah DAP, demikian menurut sumber.

Ada yang mengaitkan minat itu muncul apabila menyaksikan perbalahan dalam menentukan calon Barisan Nasional antara Dr Tiki dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) atau dengan kata lain ia memungkinkan kemenangan berpihak di pihak parti lawan.

Dr Tiki dipecat daripada SPDP bersama empat wakil rakyat lain yang dikenali sebagai Kumpulan 5 optimis beliau merupakan calon yang boleh menang, justeru beliau wajar dicalonkan semula. Manakala SPDP di bawah pimpinan Tan Sri William Mawan Ikom sudah menyenarai pendekkan nama bakal-bakal calon di kerusi berkenaan.

PKR

Justeru, PKR dan DAP tidak mengenepikan kemungkinan untuk menang. Dan untuk itu mereka dikatakan sama-sama bertegas untuk meletakkan calon masing-masing di situ.

Akhbar baru-baru ini melaporkan Ketua PKR negeri Sarawak, Baru Bian sebagai berkata PKR telah mencapai keputusan dengan DAP terhadap 10 kerusi Parlimen. PKR sah bertanding di 10 kerusi berkenaan tetapi masih dalam peringkat perbincangan dengan DAP berhubung kerusi-kerusi lain.

Sarawak memiliki 31 kerusi Parlimen yang mana pada masa sekarang dua daripadanya dikuasai DAP iaitu Parlimen Bandar Kuching dan Parlimen Sibu.