Wanita tak dipinggir dari arus pembangunan.

Posted on April 26, 2012

0


KELANTAN terkenal dengan Pasar Besar Siti Khadijah yang majoriti peniaganya terdiri daripada kaum hawa – melambangkan semangat cekal wanita dalam membantu keluarga menambah pendapatan.

Kegigigan kaum wanita menceburi bidang keusahawanan dan perniagaan juga bukan senario yang janggal kita saksikan di Sarawak. Di Kuching, di Pasar Minggu, ramai wanita berjaja macam-macam produk – terutama hasil hutan dan kebun mereka sendiri.

Wanita juga kian bangkit “duduk sama rendah, berdiri sama tinggi” dalam apa jua bidang. Kejayaan mereka ‘bangkit’ itu turut dibantu dengan sokongan lelaki yang memberi peluang dan dorongan agar mereka tidak ketinggalan dari aspek meneroka dan menceburi alam perniagaan.

Sering kita dengar ada pihak mengatakan nisbah mahasiswi berbanding mahasiswa di universiti-universiti tempatan kini kian ketara. Cuba lihat dari sudut positif, mungkin kaum hawa lebih rajin menelaah pelajaran berbanding lelaki, sebab itu mereka lebih ramai.

Dan yang paling penting, maksudnya ibu bapa sedar mereka boleh bergantung dengan anak perempuan mereka sebagai pelaburan – bukan anak lelaki semata-mata seperti yang berlaku dahulu.

Mungkin ibu bapa pada zaman dahulu bersikap tidak percaya terhadap anak gadis dan kurang memberi ruang untuk mereka menguasai bidang akademik. Atau dengan kata lain lebih gemar anak gadis mereka mahir dalam kerja-kerja rumah seperti memasak sebagai persiapan sebelum dipinang lelaki.

Justeru, pada ketika ini wanita mula menunjukkan ‘taring’ dengan menguasai bidang akademik dan kerjaya. Ada ramai yang dilantik menjadi pengarah jabatan kerajaan atau syarikat swasta.

Dalam politik pula pembabitan golongan terbabit tidak dinafikan, misalnya di Sarawak. Siapa YB dan menteri yang kita ada? YB Datuk Fatimah Abdullah ialah Menteri Kebajikan, Wanita dan Keluarga, manakala YB Datuk Rohani Abdul Karim ialah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Menteri Muda Rosey Yunus dan Ahli Parlimen Nancy Shukri.

YB Datuk Fatimah yang kelihatan begitu aktif menghadiri dan merasmikan majlis hampir setiap hari – itu melambangkan dia setanding tenaga dan semangat sama seperti lelaki.

Semangat dan keazaman dia yang tinggi dalam melaksanakan pelan pembangunan terhadap wanita memang tidak dapat dinafikan.

Di bawah merupakan satu contoh usaha kerajaan membangunkan wanita dalam perniagaan.

image