Persatuan Media Sosial Sarawak wujud bank data tepat mengenai kerajaan.

Posted on April 27, 2012

0


KONVENSYEN Media Sosial Sarawak akan diadakan pada Sabtu, 28 April 2012, di Hotel Hilton, Kuching.

Julung kali diadakan di Sarawak, ia merupakan inisiatif Persatuan Media Sosial Sarawak (PMSS) dan dijangka akan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Presiden PMSS Wan Abdillah Edruce Wan Abdul Rahman dipetik menerusi Borneo Post Online berkata seramai 650 peserta telah mengesahkan kehadiran berbanding jangkaan awal 500 orang.

Program itu akan dihadiri pengamal media sosial daripada jabatan kerajaan dan swasta, persatuan belia, pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Konvensyen itu adalah bagi menyusun, menyampaikan dan memberi pendedahan kepada aktivis media sosial terutama dalam mendapatkan sumber maklumat tepat tentang dasar-dasar kerajaan.

Dalam pada itu, Borneo Post Online turut dipetik melaporkan Wan Abdillah sebagai berkata PMSS bercadang mewujudkan bank data yang mengandungi maklumat tepat berkaitan kerajaan dan dasarnya.

Maklumat-maklumat tersebut boleh digunakan oleh pengamal media sosial untuk disebarkan menerusi blog, Facebook, Twitter dan media sosial lain.

Sambil memberitahu, PMSS yang ditubuhkan pada tahun lepas mengamalkan konsep ‘berhubung dan terbabit’ beliau berkata bank data berkenaan akan dipantau oleh urus setia PMSS.

“Maklumat yang terdapat dalam bank data itu adalah yang telah dipastikan kesahihannya.

“Ada beberapa kes yang menunjukkan pengamal media sosial tidak memeriksa kesahihan dan terus menyebarkannya.

“Situasi demikian menyebabkan orang ramai yang membaca media sosial mempercayai dan beranggapan ia adalah benar walaupun pada hakikatnya ia salah,” kata Wan Abdillah pada Khamis.

Wan Abdillah berkata PMSS tidak boleh disamakan peranannya dengan Unit Media Baru (UMB) Barisan Nasional (BN).

Malah, mereka bukan aktif semata-mata menjelang Pilihan Raya Umum.

“Kami menganggap usaha ini sebagai peranan yang wajar dilaksanakan oleh warganegara yang bertanggungjawab me-nyebarkan maklumat tepat berhubung kerajaan,” katanya.

Posted in: Sarawak, Sosial