Penstrukturan semula MASwings, sertakan pembabitan kerajaan negeri Sarawak dan Sabah.

Posted on April 28, 2012

0


KERAJAAN negeri Sarawak dan Sabah bakal memiliki syer masing-masing dalam syarikat penerbangan MASwings yang telah beroperasi dua negeri itu sejak tahun 2007.
 
Itu merupakan permintaan yang dikemukakan dua kerajaan negeri  itu kepada kerajaan persekutuan dan kesediaan bagi mempertimbangkan permohonan itu diberitahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di depan khalayak dalam majlis perasmian Jelajah Janji Ditepati di Kuching pada Sabtu.
 
BERNAMA melaporkan penstrukturan semula itu akan turut mengambilkira peningkatan produktiviti MASwings serta rangkaian perhubungannya di kedua-dua negeri itu.

“Atas permintaan kerajaan negeri Sarawak dan kerajaan negeri Sabah, struktur MASwings akan dikaji semula supaya mereka dapat memiliki sebahagian daripada (saham) MASwings,” katanya.

MASwings menawarkan perkhidmatan pengangkutan udara pedalaman di Sarawak dan Sabah.

Baru-baru ini turut mengembangkan operasinya ke luar negara dalam kawasan BIMP-EAGA – destinasi luar negara itu ialah Brunei dan Kalimantan, Indonesia. Operasi itu memberi peluang pertumbuhan ekonomi serta pasaran baru bagi tiga negara dalam bidang pelancongan, perubatan, pendidikan, pertanian, perdagangan dan pelaburan.

MASWings adalah syarikat penerbangan Malaysia pertama menghubungkan pintu masuk BIMP EAGA yang diiktiraf berdasarkan perjanjian persefahaman pengembangan hubungan udara antara Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina.

Perkhidmatan MASWings ke Sarawak dan Sabah lebih bermatlamatkan untuk menghubungkan penduduk setempat

Ia turut membantu merangsang pertumbuhan industri pelancongan. MASwings turut menawarkan penerbangan dari Kuching ke Mulu iaitu sebuah destinasi pelancongan yang wajib dikunjungi jika bertandang ke Bumi Kenyalang.

Posted in: Ekonomi, Sarawak