Persatuan Media Sosial Sarawak serah resolusi kepada PM dan KM.

Posted on April 29, 2012

0


PERSATUAN Media Sosial Sarawak (PMSS) menyerahkan resolusi 10 perkara kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud semalam yang menyentuh tentang penggunaan media sosial dalam merealisasikan Gagasan 1Malaysia.

Resolusi itu merupakan hasil utama dicapai menerusi Konvensyen Media Sosial Sarawak yang merupakan program terakhir dihadiri Najib dalam rangka lawatan tiga hari ke Sarawak.

Presiden PMSS Wan Abdillah Edruce Wan Abdul Rahman menyerahkan dokumen resolusi berkenaan pada majlis perasmian konvensyen itu di Hotel Hilton.

Resolusi ialah seperti berikut:-

1) adalah untuk merangka matlamat dan komunikasi seterusnya diselia agar maklumat serta isu dapat dijelaskan dengan berkesan sekali gus mencapai golongan sasaran.

2) bank maklumat ditubuhkan sebagai rujukan kepada pengamal media sosial dan memudahkan mereka berkongsi maklumat di kalangan masyarakat pelbagai lapisan supaya kebenaran disebarkan

3) menubuhkan urusetia bagi menguruskan dengan berkesan dan cekap semua maklumat yang dimasukkan ke dalam bank maklumat

4) mencadangkan peningkatan penglibatan belia dalam pelbagai program

5) mengisytiharkan komitmen persatuan untuk menganjurkan program Jelajah Media Sosial 1Malaysia di seluruh Sarawak sebagai sebahagian usaha menghubungkan para pengamal media sosial

6) PMSS menyeru pemimpin-pemimpin Barisan Nasional agar berhubung; meningkatkan penglibatan mereka dalam media sosial; memanfaatkan sepenuhnya fungsi media sosial untuk lebih memahami rakyat dan memenangi hati rakyat; dan proaktif dalam menyebarkan maklumat, menjelaskan sesuatu isu dan mempertahankan polisi kerajaan

7) menyarankan agar Perdana Menteri meletakkan pembabitan aktif dalam media sosial sebagai antara kriteria untuk menjadi calon pilihan raya.

8) berikrar bersatu-padu dan tekun membantu kerajaan menyebarkan maklumat, menjelaskan isu-isu, mendukung kebenaran dan menolak maklumat palsu

9) menyeru pengamal media sosial memberi tumpuan terhadap agenda bersama dan mengenepikan perbezaan kumpulan atau peribadi selain

10) persatuan memberi jaminan menggunakan media sosial dengan penuh rasa tanggungjawab dalam memastikan kejayaan pelaksanaan konsep 1Malaysia dan pelan transformasi kerajaan