Ramai rakyat mampu ‘dinner’ di restoran makanan laut.

Posted on May 1, 2012

0


MULA pukul 7 malam restoran makanan laut Top Spot yang terletak di Taman Kereta di Kuching, Sarawak dikerumuni pelanggan yang ramai. Berbilang bangsa – ada Cina, Melayu, Dayak, India dan mat salleh.

Ada yang datang dengan ahli-ahli keluarga, pasangan masing-masing, dan sekumpulan pengunjung ke bandar raya Kuching sama ada dari Semenanjung Malaysia atau Sabah. Semua menikmati lebih dari tiga hidangan yang harga minimumnya ialah RM80.

Apa yang cuba diperkatakan di sini ialah :-

1) Semua kaum di Sarawak mampu menikmati makanan bermutu dan lazat

2) Kuching merupakan sebuah bandar raya yang aman dan meriah pada waktu malam

3) Integrasi nasional berputik di mana-mana dan dalam apa jua cara – dalam kes ini, di restoran

4) Ekonomi rakyat meningkat meskipun ada yang merungut beban hidup kian dirasai

5) Tauke pemilik gerai tebal poket apabila ramai berbelanja. Ini akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi domestik, dan

6) Tauke pemilik gerai menggaji pekerja untuk membantunya melayan pelanggan dan memasak. Wujud pekerjaan di situ.

Bagaimana ini semua terjadi? Adakah ia terjadi begitu sahaja tanpa wujud barisan pemimpin yang bijak mentadbir urus negeri atau negara?

Jawapannya, semua sudah tahu bahawa ia bukan umpama “Yang pipih datang melayang, yang bulat tidak datang bergolek”. Ia merupakan usaha semua pihak, bukan kerajaan semata-mata.

Semua rakyat ada peranan dan sumbangan. Serendah manapun pangkat seseorang pekerja, dia masih ada sumbangan terhadap pembangunan negara dan negeri.

Bukan di restoran makanan laut Top Spot sahaja yang sesak dengan pelanggan. Di restoran See Good di Jalan Ban Hock di Kuching dan Rock Road Seafood Restaurant juga begitu suasananya.

Di Rock Road Seafood Restaurant ruang letak kereta kadang-kadang tidak mencukupi untuk menampung kenderaan pelanggan yang ramai terutama pada hari baru gaji.

Tidakkah anda merasa bersyukur kerana hidup aman dan ekonomi mampu berkembang di Sarawak? Renung-renungkan apa yang anda nikmati pada hari ini.