Mawan: Tiada Nama Disahkan Sebagai Calon BN Bagi Parlimen Mas Gading

Posted on May 5, 2012

0


TIADA calon disahkan untuk bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Parlimen Mas Gading, kata Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan pada Khamis.

Beliau berkata ia merupakan bidang kuasa Perdana Menteri dan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Sarawak dan pengerusi BN negeri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud bagi memuktamadkan senarai calon-calon.

“Sepanjang pengetahuan SPDP, kami tidak pernah berbincang perkara ini (memutuskan calon BN bagi Mas Gading) pada jawatankuasa pengurusan BN. Kami tidak bincang perkara ini dengan Perdana Menteri atau Ketua Menteri berhubung perkara itu,” katanya.

Mawan berkata demikian kepada pemberita di KUCHING sebagai respons kepada laporan akhbar tempatan hari ini yang memetik sumber sebagai berkata bahawa penyandang kerusi Mas Gading, Datuk Dr Tiki Lafe akan menjadi calon BN bagi kerusi kawasan itu pada pilihan raya umum akan datang.

Dr Tiki, yang berjaya mempertahankan kawasan itu selama tiga penggal sejak 1999, merupakan naib presiden SPDP sebelum dipecat oleh parti Januari lalu kerana kuat membangkang.

Akhbar tempatan melaporkan bahawa Taib memberikan lampu hijau kepada Dr Tiki untuk mempertahankan kerusi kawasan itu ke atas calon yang dicadangkan SPDP.

Mawan, yang kekal berahsia mengenai calon yang dicadangkan berkata kepimpinan BN sentiasa berunding sebelum mengumumkan calon-calon mereka dan mereka yang mendakwa disahkan sebagai calon pada peringkat ini melangkaui mekanisme ini.

Selain daripada Mas Gading, pada masa ini SPDP mewakili BN di tiga kawasan Parlimen iaitu Saratok, Bintulu dan Baram.-BERNAMA