Antara BR1M dan sokongan terhadap BN.

Posted on January 16, 2012

0


SEORANG teman yang bertugas di Pejabat Daerah memberitahu baucar pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia atau dikenali BR1M sudah tiba di pejabat mereka. Berkotak-kotak (banyaknya), katanya.

Baucar BR1M

Kini cuma menunggu untuk arahan mengagihkan dan penyampaiannya mungkin akan disempurnakan oleh YB di kawasan masing-masing. Maklumlah, pilihan raya umum dikatakan semakin dekat.

Kalau saya jadi YB pun saya akan mengambil peluang ini untuk bersemuka dengan rakyat. Bukan majlis seperti ini sahaja, tetapi apa jua majlis, termasuk kenduri-kendara. Itu perlu kerana dalam majlis sosial seperti ini, penduduk di kawasan akan berinteraksi dengan YB, sama ada berbual kosong atau mengutarakan masalah.

BR1M ketika proses pengedaran borang permohonannya pada hampir pertengahan Disember 2011, pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri di Kuching menjadi serbuan orang ramai. Ia adalah ekoran pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan akan memberi bantuan kewangan RM500 untuk sebuah keluarga menerusi Bajet 2012 dibentangkan pada September 2011.

Ada beberapa pihak yang mendakwa BR1M ialah gula-gula pilihan raya.

Jika itu memang benar ia satu bentuk umpan agar rakyat terus menyokong Barisan Nasional, bagi saya ia tidak salah. Saya rasa pihak yang mengatakan demikian pun akan berbuat demikian demi mempertahankan kedudukannya.

Apatah lagi kedudukan sebagai kerajaan yang dipegang oleh Barisan Nasional sejak merdeka lagi. Pemimpin Barisan Nasional bertungkus lumus memerah otak memikirkan, merancang dan melaksanakan program-program pembangunan negara.

Tidak salah jika Barisan Nasional berbuat demikian kerana mempertahankan kesinambungan rancangan pembangunan di seluruh negara.

Malahan di bawah pemerintahan Datuk Seri Najib, Sarawak dan Sabah dijanjikan turut diberi keutamaan sama seperti sebelum ini dalam setiap program direncanakan kerajaan di peringkat persekutuan.

Apa yang wajar dilakukan rakyat apabila sudah terbukti kerajaan Barisan Nasional mempunyai iltizam untuk memajukan negara ialah terus setia menyokong kepimpinan sedia ada.

Berbalik kepada BR1M, konsep bantuan kewangan itu adalah berdasarkan kelayakan yang mana mereka yang berpendapatan RM3,000 ke bawah.

Tempoh pembayaran BR1M dilaksanakan selama dua bulan mulai 14 Januari 2012 hingga 15 Mac 2012, bagi memastikan pembayaran dapat dilaksanakan secara tersusun dan lancar supaya tidak ada pemohon yang layak menerimanya tercicir.

Semua penerima yang layak akan dibayar dalam bentuk baucar tunai RM500 dan mereka boleh menunaikan baucar itu di kaunter-kaunter bank Bank Simpanan Nasional (BSN), CIMB Bank dan Maybank yang ditempatkan pada majlis penyerahan.

Selain itu baucar tunai yang mempunyai tempoh sah laku sehingga 15 April 2012 juga boleh ditunaikan di mana-mana cawangan bank tersebut di seluruh negara.

Dalam pembangunan ekonomi negara, kerajaan mahu semua rakyat menikmatinya.