SCORE tidak ketinggalan zaman!

Posted on February 27, 2012

1


SEORANG teman yang bertugas kira-kira dua tahun di Kuching begitu pandai buat lawak. Lawak yang dia buat ada ‘class’ – sebab berkisar tentang Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Dia kata topik SCORE sudah ketinggalan zaman. Ketinggalan zaman sebab zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri sudah berlalu. Ucapan atau perbualan tentang koridor pembangunan wilayah ini sudah tidak relevan.

SCORE tidak ketinggalan zaman – dia tidak tahu hakikat itu – SCORE merupakan rancangan pembangunan ekonomi yang berpandangan jauh dalam usaha menjadikan Bumi Kenyalang sebagai negeri industri.

Pemimpin negeri Sarawak, terutama Ketua Menteri, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud memang wajar kerap menyebarkan tentang SCORE ketika berucap di khalayak ramai.

Suasana kerja mungkin menyebabkan dia (teman) bosan mendengar ucapan diselitkan dengan SCORE.

Tetapi hakikatnya dia mungkin selalu dengar ucapan sedemikian, bukan orang lain, kerana setiap majlis dihadiri Ketua Menteri, audien atau orang ramai yang datang adalah berbeza-beza.

Teman itu ternyata gagal memahami betapa perlu seorang pemimpin memberi penjelasan kepada rakyat tentang visi dan rancangan pembangunan kerajaan.

Jika dinilai dari aspek kesungguhan memberi penjelasan dan maklumat kepada rakyat, kita dapat memberi kesimpulan bahawa SCORE bukan rancangan sekerat jalan – yakni bila pucuk pimpinan negara bertukar, projek itu pun perlu diubah.

SCORE ialah tentang masa depan Sarawak. Ia merupakan rancangan ekonomi berpandangan jauh dalam mempelbagaikan aktiviti ekonomi. SCORE direncanakan demi rakyat dan sekali gus membangunkan kawasan tengah negeri itu.

SCORE dirasmikan oleh Tun Abdullah pada 11 Februari 2008 dengan fokus untuk mengoptimumkan penggunaan sumber-sumber tenaga menerusi pembangunan industri berintensifkan tenaga.

Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri selepas Tun Abdullah memberi sokongan terhadap pelaksanaan SCORE.

Dalam Bajet 2012, kerajaan persekutuan menyediakan peruntukan khas untuk melaksanakan projek pembinaan kemudahan infrastruktur di kawasan SCORE.

Komponen terpenting dalam SCORE ialah keupayaan menarik masuk pelabur asing. Kini usaha ditumpukan untuk meningkatkan bilangan pelabur.

Sepuluh industri utama SCORE ialah industri berasaskan minyak dan gas, industri aluminium, industri besi dan keluli, industri silika, pelancongan, industri kelapa sawit, industri berasaskan perkayuan, ternakan, akuakultur dan kejuruteraan marin.